KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang berusaha tingkatkan pengeluaran beras negara dengan anggapan eksport beras ke Malaysia mungkin disekat pada masa akan datang.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, negara perlu mempunyai kekuatan untuk berdiri di atas kaki sendiri dengan menyediakan bekalan beras mencukupi untuk rakyat.

“Kita sekarang ini perlu anggap beras akan disekat (untuk di eksport ke Malaysia). Ini kerana, India sedang berdepan dengan perubahan iklim dan sebagainya. Mereka perlu jamin bekalan makanan yang cukup kepada rakyatnya. Vietnam dan Thailand belum lagi, (mungkin) suatu hari nanti.

“Katakanlah suatu hari disekat. Kita mesti berusaha mencukupkan beras. Boleh atau tidak? Saya kata boleh. Jika kita beri tumpuan yang betul, kerja yang betul, teknologi, baja, dan pengairan yang betul, kita boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Isnin.

Mohamad menjelaskan ketika ini secara purata empat hingga lima tan beras dihasilkan bagi setiap satu hektar sawah padi. Pihaknya menyasarkan agar kadar pengeluaran tersebut ditingkatkan kepada enam tan bagi setiap hektar.

“Jika kita dapat capai enam tan purata (pengeluaran beras) sudah cukup. Kalau tujuh tan, kita sudah boleh eksport. Sebab itu apabila saya lihat dan ditemani pegawai-pegawai yang dedikasi di kementerian ini, kita mencari tempat hasil padi yang paling cantik.

“Kita dapati ada di Sekinchan; Bumbung Lima, Pulau Pinang; dan beberapa tempat di Perak. Jadi kita bawa cara Sekinchan ini ke tempat lain, dan kita buat percubaan.

“Kita bawa tanam di Kedah dengan penjagaan yang betul, racun yang betul, dan pengawalan yang betul. Daripada tempat itu biasa dapat (hasil beras) enam hingga tujuh tan, kemudiannya boleh dapat sampai hampir 11 tan,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut memaklumkan hasil perbincangan antara pihaknya dengan Kerajaan negeri Sabah dan Sarawak telah bersetuju untuk menjadi Borneo sebagai jelapang padi kedua negara.

Jelasnya, ini sebagai usaha untuk meningkatkan hasil tanaman padi untuk menjamin bekalan beras yang stabil diseluruh negara.